Monday 4 June 2018

5 Golongan Manusia dari sudut Politik Malaysia



Berdasarkan observation Hani, Hani boleh kategorikan kepada 5 jenis manusia di dalam Malaysia dari sudut pandangan politik.

#Pertama - Penyokong Setia Parti

Mereka adalah penyokong kuat kepada parti politik. Tak kisah la mana-mana parti politik pun. Sama ada Hijau, Biru, Biru Muda, Merah, Oren dan seangkatan dengannya. Pada mereka, apa yang dilakukan oleh parti politik pilihan mereka sentiasa benar dan tidak pernah ada yang salah. Kalau pemimpin mereka kata A makan A lah yang disokongnya. Kalau pemimpin mereka cakap B, maka B lah yang sokongnya. Mereka sangat percaya dan yakin dengan segala kata-kata dan perbuatan pemimpin idola mereka. Kalau ada sesiapa yang cuba mempertikaikan apa yang pemimpin parti tu cakap, maka nahaslah orang itu. Begitu setia dan taksub dengan parti dan pemimpin mereka dan sanggup berbuat apa sahaja demi parti dan pemimpin parti tersebut. Mereka ini juga sangat protektif .

#Kedua - Penyokong yang suka menegur

Mereka adalah penyokong sesebuah parti politik. Bukan sahaja penyokong tetapi mereka juga adalah ahli berdaftar bagi parti politik tersebut tetapi mereka ini selalu mempunyai pandangan yang berbeza dari pemimpin-pemimpin parti mereka. Biasanya mereka ini adalah golongan muda. Bila mesyuarat memutuskan sesuatu pasti ada sahaja benda yang tidak dipersetujui dan mereka akan cuba membantah dan menegur. Bila mereka lihat apa yang pemimpin cuba lakukan tidak betul di mata mereka, mereka akan tegur. Tetapi mereka ini sering disalahtafsirkan oleh pemimpin mereka. Mereka sering dikaitkan dengan pengkhianat parti walaupun niat mereka menegur demi kesejahteraan parti atau demi masa depan parti.

#Ketiga - Pengundi Bebas

Mereka adalah pengundi biasa. Mereka tidak terikat dengan mana-mana parti politik. Mereka hanya memantau dan melihat drama-drama politik yang berlaku. Mereka tak suka buat bising dan tidak menyebelahi mana-mana parti politik. Mereka lebih bersikap neutral. Yang mana baik untuk mereka, mereka akan sokong dan yang mana tak baik untuk mereka, mereka tidak akan sokong. Bila tiba hari pilihan raya, mereka akan mengundi mana-mana parti atau individu yang mereka rasa mereka percaya. Boleh jadi untuk kerusi parlimen mereka akan pangkah parti A manakala kerusi DUN mereka akan pangkah parti B. Mereka bukan lalang. Cuma mereka membuat keputusan berdasarkan fakta dan penilaian sendiri kerana mereka percaya bahawa setiap parti mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.

#Keempat - Tak mengundi langsung

Mereka adalah golongan yang tidak peduli dengan hal-hal politik dalam Malaysia. Mereka tak berminat untuk ambil tahu dan mereka hanya akan peduli dengan hal-hal sendiri sahaja. Boleh jadi mereka ini ada perasaan menyampah dengan permainan politik di Malaysia. Mereka tak percaya dengan mana-mana ahli politik di dalam Malaysia. Jadi, mereka ambil keputusan untuk tidak mengundi sebab tak tahu siapa yang patut dipercayai.

#Kelima - Penat Dengan Politik di Malaysia

Ada di antara mereka tidak berdaftar mengundi dan ada di antara mereka sudah berdaftar tetapi tidak mahu mengundi. Mereka mempunyai pengetahuan yang baik dari segi politik dan isu semasa. Mereka sentiasa meninjau perkembangan politik di dalam Malaysia tetapi mereka rasa lelah, penat dan kecewa dengan drama politik yang berlaku di Malaysia. Mereka sentiasa merasakan yang mereka hanya diperbodohkan oleh pemimpin-pemimpin sama ada pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Jadi, anda adalah golongan yang mana 1? Tepuk dada tanyalah selera.

No comments:

Post a Comment