Tuesday 16 October 2018

Catatan Ekspedisi Stok Kangri, India pada Ogos 2018


Gunung Stok Kangri adalah sebuah gunung yang terletak di Banjaran Zanskar iaitu sub-banjaran kepada banjaran yang lebih besar The Great Himalayan Range dengan ketinggian 6,153 meter

Ia terletak di Region Ladakh iaitu kawasan gurun di utara negeri Jammu Kashmir, India, kira-kira 100km ke selatan sempadan Azad Kashmir di Pakistan. 

Di wilayah bergolak inilah India beberapa kali berperang dengan Pakistan. Jadi tidak hairan terdapat banyak kem dan lapangan terbang tentera di sini. 

Konvoi tentera India kelihatan di mana2 sahaja, helikopter dan jet pejuang juga kerap kali kelihatan berlegar di ruang udara. 

Bandar utama Ladakh adalah Leh. Ia merupakan pintu masuk utama untuk ekspedisi ke gunung-gunung di sepanjang Banjaran Ladakh dan Zanskar. 

Kalau dilihat dari udara ia merupakan satu penempatan di tengah-tengah lembah seperti oasis atau wadi melebar kira-kira 10km utara ke selatan dan 5km timur ke barat dikelilingi gurun gersang yang bergunung ganang. 

Pemandangan gunung-ganang di sini tidak jauh berbeza kegersangannya dengan bagaimana kita lihat di Makkah dan Madinah. 

Catatan Ekspedisi Stok Kangri, India pada Ogos 2018

Di bandar Leh masih terdapat banyak bangunan yang dibuat daripada batu dan tanah liat, pemandangan seperti pekan nomad kaum Badwi. 

Pengaruh majoriti Buddha Tibetan jelas kelihatan di sini dengan binaan stupa dan monastery di merata tempat selain etnik2 minoriti beragama Islam dan lain-lain. 

Makanan halal mudah diperolehi kerana majoriti penduduk di sini vegetarian dan hanya makan roti dan sayuran. Daging kambing dan ayam kebanyakannya dibekal dan dihidangkan oleh penduduk Muslim sahaja. 

Harga makanan dan barang keperluan asas di sini juga sangat murah jika diukur dengan nilai matawang kita, bagaimanapun tahap kebersihan makanan, air dan persekitaran agak kurang baik,

TIBA DI LEH

Penerbangan domestik pesawat GoAir G8221 yang membawa saya dari Terminal 2 Indira Gandhi International Airport New Delhi ke bandar Leh selamat mendarat di Kushok Bakula Rinpoche Airport pada pukul 10.45 am selepas penerbangan singkat selama 1 jam 30 minit.  

Saya yang berseorangan dalam penerbangan kali ini agak terkejut melihat kehadiran ramai anggota tentera di lapangan terbang ini. 

Tanpa menghiraukan mereka saya terus mengisi borang ketibaan warga asing, menyerahkan borang tersebut di kaunter dan terus keluar mencari pemandu yang sepatutnya telah sedia menunggu untuk membawa saya ke tempat penginapan iaitu Hearth Hostel berdekatan dengan Polo Ground. 

Tidak perlu menunggu lama, purata altitude di Leh ini sekitar 3400-3500 meter dari paras laut, dikelilingi pula oleh gunung ganang dan padang pasir tandus. Dengan hanya sedikit tumbuhan hijau, ia pantas menyebabkan serangan sakit kepala iaitu tanda-tanda awal AMS (Acute Mountain Sickness)

Cuba untuk mengelakkan dari menjadi semakin teruk saya berbaring dan cuba lelapkan mata. 

Pukul 2.45 pm saya bangun dan mengambil 2 biji panadol dengan harapan sakit kepala dapat dikurangkan. 

Menjelang malam saya tidak lena tidur dan seringkali terjaga, bilik terasa sesak walaupun kedua-dua tingkap terbuka sepanjang malam, manakala sakit kepala tidak surut-surut. 

Kerana tidak tahan dengan keadaan itu, pukul 3:00 pagi saya bangun, menjamah sekeping roti gardenia yang saya bawa dari Malaysia, kemudian saya telan sebiji painkiller Arcoxia, alhamdulillah menjelang pagi sakit kepala semakin berkurangan.

ACCLIMATIZATION KE KHARDUNGLA PASS

Catatan Ekspedisi Stok Kangri, India pada Ogos 2018

Hari ini kami dijadualkan akan pergi ke Khardungla Pass. 

Tepat pukul 11.00 pagi kami bertolak dengan menaiki sebuah SUV Mahindra Xylo dan sebuah lagi Toyota Innova melalui jalan sempit berliku-liku di pinggir cerun bukit dan gunung, diawalnya berturap tapi semakin jauh ke pedalaman ia hanya tanah cerun gunung yang ditarah dijadikan jalan. 

Khardungla Pass adalah point tertinggi (5600m 18000 ka) di pertengahan jalan yang digunakan oleh konvoi tentera India untuk ke pos-pos kawalan di daerah pergunungan utara Kashmir bersempadan dengan Pakistan. 

Permit khas diperlukan untuk melaluinya. 

Tujuan kami dibawa ke sana adalah untuk membiasakan diri dalam persekitaran altitude tinggi dalam program acclimatization. 

Perjalanan dari Leh ke Khardungla Pass sejauh 30 km naik secara mendadak dari altitude 3500m di Leh kepada 5600m di khardungla pass hanya dalam tempoh kurang dari 1 jam. 

Ada rakan yang steady, tidak kurang juga yang mengalami kesukaran, imbangan badan tidak stabil, kesukaran bernafas, tidak mampu walaupun hanya untuk melangkah keluar dari kenderaan. 

Ada juga rakan-rakan yang masih kuat malah sempat memanjat bukit berdekatan untuk mengambil gambar. 

Akibat perubahan altitude dan suhu drastik ini saya sekali lagi mengalami sakit kepala, loya dan tak selera untuk makan. Rakan saya, Ling yang mengalami AMS agak teruk sejak tiba di Leh, semakin parah bila naik ke altitude tinggi secara mendadak ini. 

Petang itu selepas kembali semula ke Leh ramai yang mengalami demam akibat perjalanan petang tadi.

EKSPEDISI BERMULA

Hari ini merupakan hari permulaan untuk pendakian ini. 

Pada pukul 10:00 am kami seramai 12 orang menaiki 3 buah minivan Suzuki bergerak meninggalkan hostel ke starting point (3600 meter) di Stok Village. 

Ling yang masih lemah akibat AMS tidak turut serta kerana tidak mahu menyusahkan mana2 pihak. 

Perjalanan melalui jalan kampung sempit berbelok-belok dan berlubang-lubang mengambil masa lebih kurang 40 minit untuk kami tiba di starting point. 

Kami disambut oleh jurupandu, Jimmy, seorang gadis tempatan berdarah Tibet yang bertubuh kecil molek berkulit putih kuning dan berambut blonde, suaranya agak garau dan sedikit tomboy. 

Kami mula berkemas2 untuk memulakan ekspedisi. Kira-kira pukul 11:15 am kami memulakan langkah. 

Jarak dari starting point ke Kem Mankarmo (4400 meter) iaitu lokasi dimana kami dijadualkan akan bermalam adalah 9 km, menaik setinggi hampir 800 meter.

Peringkat awal agak santai trek menyusuri sungai yang berpunca dari cairan glacier di puncak gunung. 

Catatan Ekspedisi Stok Kangri, India pada Ogos 2018

Jimmy sempat bercerita, 2 minggu lalu 2 orang pendaki India terkorban dalam ekspedisi Stok Kangri. 

Kedua-duanya mati dalam perjalanan turun kerana terjatuh ketika melalui kawasan glacier. 

Keadaan trek glacier sepanjang 1 hingga 2 km pada masa ini agak bahaya. Salji yang lembut pada waktu malam bertukar menjadi ais yang keras menggerutu apabila terkena sinaran matahari. 

Catatan Ekspedisi Stok Kangri, India pada Ogos 2018

Pendaki yang biasanya mula bergerak sebelum waktu tengah malam akan tiba di puncak selepas matahari terbit dan turun semula setelah matahari mulai tinggi. 

Trek terakhir menuju ke puncak selepas melalui glacier agak teknikal dengan melalui rabung batu dan trek berbentuk zigzag untuk mengelakkannya dari terlalu curam. Dengan kepenatan melampau dan kekurangan oksigen, pendaki boleh hilang imbangan badan. 

Jika terjatuh boleh terjunam ke dalam gaung ais yang dalam. Kemungkinan jasad akan terbenam ke dalam ais dan kekal awet selamanya di sana. 

Disebab itu banyak pihak berulang kali mengingatkan, dalam ekspedisi Stok Kangri persediaan tenaga, oksigen dan mental bukan hanya untuk membawa pendaki sampai kepuncak, paling penting ia mesti juga cukup untuk membawa pendaki turun kembali ke Basecamp. 

Tahun lepas pengalaman Azlee sendiri membawa sekumpulan 15 orang pendaki dari Malaysia, hanya 1 orang sahaja, wanita, yang berjaya sampai ke puncak dan kembali semula. 

Dalam ekspedisi kali ini bagi Azlee, Shukor, Faizal dan Izwan ia adalah percubaan kali kedua. 

Dari trek rekod ini sahaja pun kita sudah dapat gambarkan apakah level gunung ini.

Perjalanan diteruskan, perhentian pertama Kem Changma (4050 meter) selepas perjalanan sejauh 5km, untuk makan tengahari. 

Catatan Ekspedisi Stok Kangri, India pada Ogos 2018

Saya tiba di Kem Changma pukul 2:30 pm. 

Setibanya di sini ramai yang hilang selera makan, kepenatan dan loya. 

Sungguh masing-masing under estimate. 

Nampak macam mudah tapi Stok Kangri memang memiliki kekejamannya tersendiri - oksigen. 

Zalina yang muntah-muntah terpaksa berehat dan bermalam di Changma dan harus berpatah balik ke starting point esok. 

Ketika saya tiba, kumpulan yang sampai awal sudah mula bergerak meninggalkan Changma menuju Kem Mankarmo. 

Tepat pukul 3:00 pm saya sambung perjalanan bertiga bersama Pelita dan Azlee. 

Kami diberitahu Barry yang pertama kali menyertai ekspedisi mendaki terpaksa berpatah balik, mengadu dadanya terasa sejuk ketika menempuh trek yang curam tidak jauh selepas meninggalkan Kem Changma. 

Pergerakan yang sangat perlahan setelah melepasi trek curam ini menyebabkan kami tiba di Kem Mankarmo 6:45 pm. Hampir senja, tetapi masih sempat mengerjakan solat jamak Zohor dan Asar. 

Catatan Ekspedisi Stok Kangri, India pada Ogos 2018

Dalam perjalanan ke Kem Mankarmo ini, ada satu ketika kami ternampak dari kejauhan satu khemah berwarna merah dan beberapa khemah lain berwarna kuning, itu lah Kem Mankarmo. 

Saya bersorak gembira kerana begitu yakin penantian bakal berakhir. 

Saya jangka paling lama dalam 15 minit lagi kami akan sampai dan dapat berehat. 

Mungkin itu ilusi di pergunungan bercampur baur dengan mental dan emosi yang menipu semua pendaki yang melalui trek itu, kerana akhirnya selepas sejam lebih barulah kami betul-betul tiba di Kem Mankarmo! 

Begitu azabnya ketika itu ditipu ilusi optik. 

Dengan tibanya saya dan Pelita, hanya Ahfatt seorang sahaja yang masih di trek. 

Dia yang pergerakannya agak perlahan dan berjalan seorang diri di belakang sekali akhirnya tiba kira-kira 8:30 pm. 

Makan malam yang disediakan memang banyak dan sedap-sedap semuanya. Ada kambing, salad, sayur, sup, nasi, kuah dal dan banyak lagi. Malangnya kebanyakan dari kami sudah hilang selera makan. 

Saya hanya mampu menjamah sedikit nasi, kambing dan sup masam manis. Malam itu saya tidur satu khemah dengan Shukor. 

Khemah terlalu sempit untuk 2 orang dengan bag dan sebagainya. Udara yang nipis menyebabkan saya terjaga banyak kali untuk membuka zip khemah dan menyedut udara dari luar.

HARI KE 2

8:00 am kami mengambil sarapan pagi dalam khemah. 

Sistem badan masih masih tidak stabil akibatnya hilang selera makan. Hanya dapat menjamah sedikit bubur oat dan telur rebus. 

Selepas sarapan, dengan menggunakan Portable Oximeter kepunyaan Pelita saya check tahap kandungan oksigen dalam darah (SPO2). 

Bacaan menunjukan hanya 56%. 

Orang sihat dalam keadaan normal sepatutnya melebihi 90%. 

Saya agak hairan, secara peribadi saya tidak merasakan apa-apa masalah besar dalam diri saya kecuali tidak selera makan dan sedikit isu pernafasan yang saya percaya semua orang mengalaminya. 

Bagaimana bacaan SPO2 saya boleh begitu kritikal?

Saya counter check dengan menggunakan Applikasi Android dalam handphone saya. 

Bacaan menunjukkan 90++%. 

Saya mula ragu mana satu bacaan yang betul. 

Menurut Jimmy hanya yang SPO2 80% atau lebih sahaja sepatutnya dibenarkan meneruskan pendakian, tapi dia tidak memaksa sesiapa untuk menarik diri. 

Pukul 8:15 am kami mula bergerak meneruskan perjalanan menuju ke Basecamp sejauh kira-kira 3km. 

Catatan Ekspedisi Stok Kangri, India pada Ogos 2018

Ahfatt yang tiba begitu lewat semalam telah mengambil keputusan untuk tidak meneruskan cabaran.

Pagi-pagi lagi dia telah berkemas untuk kembali ke Leh. 

Selepas 3 jam, saya dan Pelita yang ditemani Jimmy hanya mampu bergerak sejauh 2 km sahaja, pace yang sangat2 perlahan. 

Secara jujur saya yakin saya boleh bergerak lebih pantas dari ini kerana pada peringkat awal dari Kem Mankarmo saya rasa pace saya begitu konsisten dan steady, bernafas dengan baik dan kurang merasa penat, tetapi saya telah memperlahankan pace kerana ingin ber’buddy’ dengan Pelita. 

Saya berpendapat Pelita adalah buddy terbaik sebab pace dia hampir-hampir sama dengan saya.

Dalam fikiran saya, daripada saya mendaki seorang diri lebih baik ada buddy. 

Akibat kesilapan percaturan ini, dengan mendaki tidak mengikut pace dan kemampuan sebenar diri sendiri akhirnya saya keletihan, bernafas tidak menurut rentak yang optimum sesuai dengan kondisi badan sendiri, apa lagi dalam persekitaran oksigen yang begitu nipis. 

Keupayaan badan sangat rapuh, sedikit kesilapan strategi telah membawa padah. 

Kes yang sama begini terjadi pada Baba pada hari pertama sebelum tiba di Kem Changma, ketika dia menemani Zalina. 

Akhirnya pada pukul 11:20 am selepas 3 jam mendaki, di kedudukan (33.9900530, 77.4842800) kira-kira 1km dari Basecamp (mengikut ukuran dalam gps) pada ketinggian 4,700 meter kami berhenti dan mula berbincang dengan Jimmy. 

Catatan Ekspedisi Stok Kangri, India pada Ogos 2018
Gambar di sekitar Base Camp

Pelita yang akur dengan keadaan dirinya bersetuju dengan cadangan untuk tidak meneruskan perjalanan. 

Saya pada mulanya menolak saranan Jimmy supaya berpatah balik. Bagi saya biarlah Pelita turun sendirian ditemani Sonam, jurupandu yang seorang lagi, manakala saya ingin mengikut Jimmy meneruskan ke Basecamp (33.9829444, 77.4752111, 4950m). 

Saya ingin sekurang-kurangnya sampai ke Basecamp. 

Mungkin Jimmy yang sudah bosan menunggu kami terlalu lama telah cuba sedaya upaya untuk meyakinkan saya supaya kembali ke starting point. 

Dia memberi alasan pergerakan kami amat perlahan dan sudah terlalu lewat. 

Menurutnya lagi beberapa trek curam terpaksa dilalui di depan sebelum tiba di Basecamp, jika meneruskan juga kemungkinan akan sampai Basecamp lewat petang atau malam dan risiko suhu mungkin jatuh ke paras 0, apa lagi paras SPO2 saya yang amat kritikal. 

Lama juga saya berfikir apa yang terbaik. 

Berperang dalam diri sendiri untuk membuat keputusan. 

Beberapa kali saya pandang ke depan melihat keadaan trail yang seperti tiada penghujungnya.

Terbayang penipuan ilusi optik semalam, saya mula merasa sebak. 

Ketika itulah saya berjaya membuat keputusan yang tepat. Nyawa dan keselamatan paling utama.

Akur dan bersetuju untuk kembali ke Leh bersama Pelita ditemani seorang pembantu, Sonam. 

Jimmy meneruskan perjalanan ke Basecamp seorang diri. Walaupun ia satu keputusan yang tepat tetapi segalanya belum berakhir. 

Dalam situasi begitu untuk berpatah balik ke starting point juga merupakan cabaran yang sukar. 

Kami yang sudah kehabisan tenaga dan lemah di persekitaran gurun yang panas dan gersang terpaksa menuruni banjaran gunung berbatu batan itu sejauh hampir 12 km diwaktu tengahari terik untuk sampai di starting point. 

Catatan Ekspedisi Stok Kangri, India pada Ogos 2018

Bagaimanapun kami tiada pilihan. Keputusan telah dibuat. 

Pukul 11:30 am kami mulakan langkah bergerak turun. 

Pukul 12:15 pm kami tiba di Kem Mankarmo, berhenti rehat seketika untuk melepaskan lelah sambil minum secawan teh. 

Ketika inilah kami berjumpa dengan Barry, yang dikhabarkan telah kembali ke Leh semalam. 

Rupa-rupanya dia tidak balik ke Leh, sebaliknya bermalam di Kem Changma. 

Pagi tadi dia seorang diri dengan berpandukan GPS menyusul kami ke Kem Mankarmo. 

Dia merancang untuk tidur di sini seterusnya cuba untuk ke Basecamp esok pagi. Kira-kira pukul 12:35 pm kami meninggalkan Barry dan Kem Mankarmo untuk ke destinasi seterusnya iaitu Kem Changma dan tiba di sana pada pukul 1:45 pm. 

Perjalanan turun ini agak pantas dengan kurang penggunaan tenaga. Ada masanya kami seakan berlari, akan tetapi peha, lutut dan betis terpaksa bekerja keras menahan asakan gravity. 

Di Kem Changma kami sekali lagi berhenti rehat untuk membasahkan tekak. 

Di situ kami bertemu Nasyer seorang pendaki berbangsa Spanish yang cedera di tapak tangan bersama teman wanitanya Nadia. 

Catatan Ekspedisi Stok Kangri, India pada Ogos 2018

Sambil menjamah kentang rebus sebagai bekalan ration peribadi kami pada hari itu bersama teh halia panas, kami sempat berbual dengan Nasyer. 

Dia menceritakan ketika summit attack (perjalanan terakhir menuju ke puncak) dia mengalami sakit kepala yang amat sangat pada ketinggian 5700m menyebabkannya membatalkan hasrat ke puncak dan berpatah balik hanya beberapa ratus meter sahaja dari puncak. 

Ketika turun itulah dia terjatuh di kawasan glacier. 

Mujur tak tergolek ke dalam gaung, hanya tapak tangannya sahaja yang cedera disagat ais yang keras. 

Kami meninggalkan Kem Changma pada pukul 2:10 pm dan tiba di starting point pada pukul 3:45 pm. 

Selepas berehat seketika kami terus mendapatkan transport van untuk kembali ke hostel di Leh. 

Akhirnya pada pukul 4:30 pm kami tiba di hostel. 

Dengan penarikan diri saya dan Pelita, dan 4 yang lain (Ling tarik diri, Zalina dan Barry patah balik di Changma, Ahfatt patah balik di Mankarmo) pada hari ke 2 ini hanya tinggal 7 orang sahaja iaitu Shin, Shukor, Izwan, AJ, Faizal, Azlee dan Baba (dari jumlah asal 13 orang) yang meneruskan cabaran seterusnya.

MEDICAL CHECKUP

Selepas 1 jam berehat, pada pukul 5:30 pm saya, Ling, Pelita dan Ahfatt mengambil teksi untuk membuat medical checkup di Sonam Norbu Memorial S.N.M Hospital. 

Catatan Ekspedisi Stok Kangri, India pada Ogos 2018

Kami berempat buat screening dengan caj Rs 5 (RM0.30) seorang. 

Hanya Ling sahaja diberikan injection dan preskripsi ubat untuk beli di farmasi, manakala saya, Pelita dan Ahfatt dimasukkan wad dengan caj Rs 200 (RM12) seorang. 

Menggunakan alatan hospital, bacaan SPO2 saya disahkan amat kritikal, hanya 58% manakala blood presure 100/80 mmHg drop sedikit dari paras normal. 

Kami dimasukkan ke wad pelancong selepas menunjukkan simptom-simptom HAPE (High Altitude Pulmonary Edema). 

Catatan Ekspedisi Stok Kangri, India pada Ogos 2018

HAPE merupakan punca kematian utama akibat kekurangan oksigen di altitude tinggi. 

Kami segera diberikan bantuan oksigen, injection kemudian X-ray. X-ray pula menunjukkan tanda-tanda paru-paru sedikit membengkak. 

Mungkin kekurangan oksigen membuatkan paru-paru terpaksa bekerja melebihi kadar biasa. 

Doktor memberikan preskripsi ubat untuk Ahfatt dan saya iaitu Diamox Acetazolamide 250mg manakala Juan Sildenafil 50mg dan Acilog 150 untuk beli di farmasi. 

Pukul 9:00 malam Pelita discaj, mungkin sebab sebelum ke hospital dia telah terlebih dulu mengambil oksigen yang disediakan dalam bilik hostel. 

Dia bersama Ling kemudian keluar membelikan ubat dan makan malam saya dan Ahfatt. 

Saya yang sehelai sepinggang, hanya ada handphone, nasib baik ada powerbank kerana bag besar yang mengandungi passport, visa, dompet dan toiletries telah di bawa kuda naik ke Basecamp. 

Dijangka hanya esok bag saya akan dibawa turun dari Basecamp.

Petang keesokan harinya saya dah Ahfatt dibenarkan keluar wad. 

Bacaan SPO2 masing2 sudah melebihi 90% selepas semalaman diberikan oksigen. 

Pelita yang prihatin keadaan saya yang sehelai sepinggang tanpa passport dan dompet telah meminjamkan duit Rs 2,000 (RM120) untuk kegunaan asas saya sementara menunggu bag saya tiba dari Basecamp. 

Hingga senja bag yang ditunggu-tunggu tak muncul-muncul. 

Selepas menunggu selama 2 hari akhirnya bag saya tiba bersama rakan-rakan yang tiba dari Basecamp selepas menamatkan ekspedisi. 

Ini bermakna 4 hari saya di Leh tanpa wang dan dokumen perjalanan. 

Alhamdulillah semuanya baik. Bag sampai, kawan-kawan pun semua selamat kembali. 

Tiada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. 

Tidak sabar untuk mengetahui siapakah yang berjaya sampai ke puncak. 

Jangkaan awal saya ialah paling tidak pun Shukor dan Shin akan berjaya memandangkan kedua-duannya nampak begitu steady tanpa sebarang tanda-tanda masalah kesihatan dan selera makan. 

Bagaimanapun jangkaan saya jauh tersasar, hanya Izwan yang muncul sebagai champion, satu-satunya wakil yang berjaya sampai ke puncak. 

Catatan Ekspedisi Stok Kangri, India pada Ogos 2018

Dikhabarkan juga kesemua 7 orang yang berjaya sampai ke Basecamp, di sana mereka juga telah mengambil bantuan oksigen dari tabung yang disediakan untuk mengekalkan SPO2 masing2 agar kekal di paras selamat. 

Pada malam kedua, mereka dijadualkan memulakan summit attack (cabaran terakhir menuju puncak), bermula 11 malam sekiranya semua berjalan dengan lancar. 

Dijangkakan masa yang akan diambil untuk sampai ke puncak lebih kurang 8 hingga 10 jam, melalui cerun curam, tebing glacier, shoulder berbatu dan terakhir trek curam zigzag menghala ke puncak. 

Saya diberitahu pada malam itu Baba mengalami kesukaran dan hanya mampu bergerak tidak jauh dari Basecamp dan berpatah balik. 

Faizal juga menerima nasib sama hanya melepasi bukit pertama sahaja. 

AJ, Shukor dan Azlee pula berjaya melepasi glacier dan shoulder sebelum turun kembali ke Basecamp atas alasan dan kesukaran yang hanya masing2 sahaja yang tahu. 

Shin menerima nasib malang bila kakinya terjerlus ke dalam ais berair yang sejuk membeku, akhirnya terpaksa mengalah kesejukan dan kembali ke Basecamp.

Catatan Ekspedisi Stok Kangri, India pada Ogos 2018

TRANS LEH-KARGIL-SRINAGAR

Selepas semua selamat kembali ke Leh, kami tidak berehat lama. 

Keesokan pagi kami terus berkemas dan meninggalkan Leh menuju Srinagar. 

Dua buah SUV Mahindra Xylo menunggu kami di padang Polo berdekatan Hostel. 

Azlee, Ahfatt, Barry, Pelita, Shin dan Ling dalam satu kumpulan di depan manakala saya, Shukor, Izwan, Faizal, AJ, Baba dan Zalina dalam satu lagi kumpulan mengekori di belakang. 

Perjalanan lancar menyusuri jalan berliku2 di gurun tandus di banjaran Ladakh. 

Kami dijadualkan berhenti dan bermalam di Kargil, sebuah bandar kecil 250 km dari Leh sebelum meneruskan perjalanan ke Srinagar. 

Perjalanan ke Kargil ini mengambil masa selama 9 jam. 

Pukul 5:00 pm kami tiba di Kargil. 

Catatan Ekspedisi Stok Kangri, India pada Ogos 2018

Kami check-in di Ashiyana Hotel di Kargil Main Bazaar Rd. Kargil yang 99% penduduknya muslim.

Kami tiada masalah untuk mendapatkan makanan halal. 

Mengikut rancangan asal, kami akan berehat di Kargil 1 malam sahaja, manakala di Srinagar 2 malam sebelum kembali ke Delhi. 

Berita kami terima, jalan masuk ke Srinagar ditutup kerana sehari selepas kami tiba di Kargil, satu keputusan mahkamah mengenai isu pemilikan tanah di negeri Jammu Kashmir akan diumumkan.

Dikhabarkan akan berlaku beberapa siri bantahan dan semua premis perniagaan akan ditutup. 

Penutupan ini adalah perkara biasa untuk mengelakkan sebarang kekecohan setiap kali timbul isu-isu tertentu di sini. 

Tindakan awal kami dalam situasi begini adalah membeli beberapa botol air mineral dan makanan seperti biskut dan roti untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk perintah berkurung.

Selepas diberitahu laluan ke Srinagar dibuka semula, pukul 4:45 am hari ke 3 selepas solat subuh, kami bertolak meninggalkan Kargil menuju Srinagar. 

Perjalanan sejauh 200km ini dijangka mengambil masa 6 atau 7 jam. 

Perjalanan kami bermula lancar membelah kegelapan awal pagi, mula perlahan selepas melintasi perbatasan Ladakh dan memasuki Kashmir. 

Selama berjam-jam kenderaan kami memintas satu demi satu berpuluh-puluh, mungkin beratus kenderaan tentera yang menuju arah yang sama. 

Saya mula tertanya-tanya apakah sebenarnya berlaku di Srinagar atau adakah ini pemandangan biasa di wilayah bergolak ini. 

Selepas hampir 4 jam perjalanan, jalan utama Kargil-Srinagar yang awalnya memang sempit dan berliku-liku, menjadi semakin offroad, tanah berbatu dan berdebu, berlekuk-lekuk di sana sini seakan-akan jalan lori angkut batu dari kuari di lereng gunung, dan altitude pula semakin tinggi dan berkabus. Manakala sungai di dasar gaung di tepi jalan tanah yang tidak berpenghadang pula semakin sayup jauh di bawah sana, mungkin 1,000 meter ke bawah. 

Catatan Ekspedisi Stok Kangri, India pada Ogos 2018

Menjenguk keluar tingkap kenderaan seakan-akan menjenguk tingkap dalam pesawat terbang. 

Rupa-rupanya inilah Zoji La Pass yang terkenal itu. 

Catatan Ekspedisi Stok Kangri, India pada Ogos 2018

Begitu ngilu terasa di jantung seakan luruh mengikut jurang dalam di tepi. Begitu gayat melalui jalan ini. 

Ada masanya saya kira hanya beberapa kaki sahaja jarak antara tayar kenderaan dengan tebing jurang. 

Keadaan jalan ini umpama dalam cerita kartun di mana jalan melilit gunung menuju ke puncak.

Selepas 6 jam perjalanan, kira-kira pukul 10.45 am kami tiba di Srinagar. 

Ketibaan kami disambut hujan yang agak lebat. 

Srinagar yang tiada sistem perparitan dengan mudah dinaiki air, banjir kilat menyebabkan jalan sesak melekat tidak boleh bergerak dengan kenderaan dari pelbagai arah berasak-asak. 

Kenderaan terpaksa meredah banjir sedalam 1 ke 2 kaki. 

Catatan Ekspedisi Stok Kangri, India pada Ogos 2018

Dalam kekecohan banjir ini kedua-dua kenderaan kami terpisah. 

Pemandu kami yang kurang mahir selok belok Srinagar berdepan masalah mencari tempat penginapan kami. 

Setelah berpusing-pusing di tengah bandar yang sesak akibat banjir ini selama 1 jam, dengan bantuan GPS akhirnya kami tiba di tempat penginapan iaitu hotel De Apple. 

Tidak banyak yang dapat kami terokai selama 16 jam berada di Srinagar, ibu negeri musim panas Jammu Kashmir ini. 

Saya simpulkan ia sebuah bandar yang agak “comot” dan tidak tersusun. 

Catatan Ekspedisi Stok Kangri, India pada Ogos 2018

Pukul 4 pagi keesokan harinya saya, Baba, AJ dan Zalina bertolak ke Sheikh ul-Alam International Airport, Srinagar. 

Tiba pukul 5 pagi, pintu masuk utama jalan menuju ke airport masih belum dibuka kepada orang awam. 

Hanya anggota tentera berkawal sahaja kelihatan keluar dan masuk. 

Mungkin pertukaran syif malam dan siang. 

Kawalan keselamatan memang sangat ketat. 

Sebaik masuk pintu pagar utama, semua bag perlu diangkut keluar dari kenderaan dan dilalukan ke mesin pengimbas sebelum dipunggah semula ke dalam kenderaan untuk meneruskan perjalanan ke terminal. 

Baba, AJ dan Zalina terbang dalam satu flight pukul 7:30 am. 

Saya sekali lagi terbang sendirian. Selepas melalui pemeriksaan keselamatan yang begitu ketat, bag sandang saya habis diselongkar. 

Akhirnya tepat pukul 11:00am penerbangan G8129 pesawat GoAir meninggalkan Srinagar membawa saya kembali ke New Delhi.

Diceritakan oleh,

Mohamad Jono Hashim.

LINEUP

Tahniah untuk lineup yang hebat-hebat dan sporting iaitu Wan Shin, Yin Ling, Pelita Lim, Ahfatt, Barry Victor, Abdul Shukor Abdul Rashid, Baba Trekker, Zalina Mohd Som, Nor Faizal Bin Nordin, Izwan Mohd, Majdi AJ dan Azlee Mustafa.


No comments:

Post a Comment